Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 24 Jun. – Dalam usaha proaktif ke arah melahirkan Pegawai Pengiring atau Pembimbing Haji dan Umrah yang profesional, berpengetahuan dan berdedikasi tinggi, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Latihan dan Peningkatan Kompetensi buat julung-julung kalinya mengungkayahkan Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU).
Sehubungan itu, seramai 19 peserta program pengambilan pertama diraikan pagi tadi dengan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Program yang berlangsung di Dewan Ta'lim, KUPU SB, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta dan juga fasilitator.
Turut hadir, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pegawai-pegawai Eksekutif dan Pegawai-pegawai Utama KUPU SB, Operator-operator Perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah serta para fasilitator dan peserta program yang diraikan.
Ra'es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan Program SP-PHU merupakan salah satu inisiatif strategik KUPU SB dalam memperkukuhkan ekosistem latihan dan pembangunan kompetensi bagi para pembimbing haji dan umrah di negara ini.
Pengambilan pertama program itu terangnya, telah bermula pada bulan Ogos 2025 dan pengambilan kedua telah dibuat pada bulan Januari 2026 di mana para peserta pada masa ini sedang mengikuti kursus latihan selama 14 minggu secara intensif.
Di samping itu, beliau juga menjelaskan, bagi memastikan standard kualiti yang tinggi, program tersebut turut mengamalkan skim penilaian yang ketat dengan menetapkan markah lulus minimum sebanyak 85 peratus bagi setiap modul dan markah purata lulus 85 peratus.
Ketetapan itu katanya lagi, mencerminkan komitmen KUPU SB untuk melahirkan pembimbing yang bukan sahaja memiliki ilmu yang mantap, malah benar-benar kompeten dan bersedia untuk memikul amanah membimbing para 'dhuyufurrahman' dengan penuh tanggungjawab dan profesional.
Pada majlis itu, turut diselajurkan dengan pelancaran Buku Panduan Pembimbing Haji dan Umrah. Penerbitan buku ini amat bertepatan sebagai bahan rujukan asas untuk menyelaraskan kefahaman, pendekatan dan amalan bimbingan haji dan umrah.
Dengan adanya buku panduan ini, kita melangkah setapak lebih dekat ke arah melahirkan jemaah yang celik ilmu, celik teknologi dan celik rohani demi menjadikan ibadah haji dan umrah sebagai pengalaman yang sempurna dan penuh keberkatan.
Sehubungan itu, program berkenaan mengetengahkan tujuh modul, antaranya, Pengenalan Urusan Haji dan Umrah di Negara Brunei Darussalam; Panduan Lengkap Manasik Haji dan Umrah; Komunikasi Dakwah Berkesan dalam Bimbingan Haji dan Umrah; Panduan Mekah dan Madinah : Dimensi Sejarah, Geografi dan Nilai Ibadah; Kemahiran Berkomunikasi Berkesan; Fatwa dan Isu Semasa Manasik Haji dan Umrah serta Bimbingan Psikologi Pertolongan Cemas dan Kesihatan Jemaah.
Dikendalikan oleh fasilitator dari KUPU SB dan agensi yang berkenaan, program ini antara lain bertujuan untuk membekalkan para peserta dengan kemahiran teknikal, pengetahuan syariah dan etika kerja yang berintegriti.
Di samping itu, ia juga diharap dapat memenuhi keperluan industri haji dan umrah yang semakin kompleks, sekali gus menjadi wadah dan mekanisme terbaik ke arah perkhidmatan haji dan umrah yang berkualiti dan bersifat holistik.